Tarikh : 2 Januari 2010
Hari : Sabtu
Masa : 8.30 pagi
Pelajar : Tingkatan 1 - 5
Tempat : Dewan Al- Ghazali (bagi pelajar ting. 1)
Kelas masing-masing (bagi pelajar ting. 2 - 5)
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Lepasan SPM/Setaraf dilaksanakan melalui aplikasi dalam talian secara sepenuhnya mulai sesi akademik bagi 2010/2011.
Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi, permohonan diadakan dalam dua fasa dan bagi fasa pertama ia telah dibuka kepada pemohon mulai 2 Nov lepas dan tarikh tutup adalah pada 31 Dis ini.
Fasa kedua permohonan pula akan dibuka pada 2 Feb 2010 mulai pukul 12 tengahari sehingga 30 Mac 2010.
Menurut kenyataan itu lagi, permohonan kali ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori bagi pemohon SPM 2009, kategori B bagi lepasan SPM 2008 atau 2007, kategori C untuk lepasan SPM 2006 atau sebelumnya atau yang mempunyai sijil setaraf yang diiktiraf oleh IPTA dan kategori D adalah bagi lepasan SPM 2007 dengan sijil ulangan 2008 atau SPM 2007 dengan sijil ulangan 2009, atau SPM 2008 dengan sijil ulangan 2009.
Pemohon boleh mengemukakan permohonan dengan mendaftar melalui URL laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my.
Bagi pemohon fasa 1, mereka dikehendaki mengemukakan permohonan dengan menggunakan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan dan mengisi di bahagian maklumat peribadi, maklumat pekerjaan dan keluarga, kategori permohonan dan maklumat aktiviti ko-kurikulum yang disertai.
Bagi pemohon fasa dua, mereka perlu membuat permohonan dengan menggunakan nombor unik ID dan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan.
"Pemohon boleh mendapatkan nombor unik ID yang boleh dibeli dengan harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau melalui mesin ATM atau SMS (jarak) Banking (bagi pemegang akaun GIRO) di seluruh negara mulai 1 Feb 2010 sehingga tarikh tutup permohonan pada 30 Mac 2010.
"Pemohon dibenarkan membuat sekali permohonan dan tiga kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan iaitu pada 30 Mac 2010," kata kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di talian 03-88835801 atau 03-88835802 atau emel ke www.upu.mohe.gov.my.
Sehubungan itu, kementerian menasihatkan para pemohon lepasan SPM 2009 supaya mengemukakan permohonan pada fasa satu bagi meningkatkan kelancaran sekaligus dapat mengurangkan tempoh masa pemohon mengemukakan permohonan mereka pada fasa dua nanti.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR 8 Dis. - Pengetua dan guru besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat mana-mana guru pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika membayangkan perkara itu berkata, kuasa berkenaan boleh 'diperturunkan' kepada pengetua dan guru besar memandangkan mereka lebih mengenali prestasi setiap guru.
"Kemungkinan suatu hari nanti mereka (pengetua dan guru besar) boleh mengambil dan memecat. Ia bagi membantu mereka mengenal pasti guru yang berdedikasi dalam membantu mewujudkan sekolah yang cemerlang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Bajet 2010, peringkat jawatankuasa kementerian itu, pada Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Mohd. Puad, langkah luar biasa itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian tersebut untuk melakukan revolusi dalam bidang pendidikan negara.
Mengulas lanjut mengenai revolusi itu, beliau menambah, semua guru turut diwajibkan melafazkan aku janji (baiah) baru.
Jelasnya, aku janji tersebut bagi memastikan tiada lagi guru-guru selepas ini mohon untuk bertukar selepas hanya dua tahun bertugas walaupun atas alasan mengikuti suami atau sebagainya.
"Ini juga sebahagian perubahan minda kepada guru-guru agar mereka menampilkan prestasi terbaik. Melalui akur janji ini kementerian tidak lagi melayan permohonan pertukaran yang kurang dari tempoh dua tahun," jelasnya.
Sementara itu, beliau menjelaskan kementerian tidak bersedia untuk merombak jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi mengelak daripada bertembung dengan musim tengkujuh.
Katanya, rombakan jadual peperiksaan belum dapat dilaksanakan kerana ia akan melibatkan penyusunan semula secara keseluruhan struktur pengajaran dan pembelajaran selain rumit.
"Memang perkara ini telah ditimbulkan pada mesyuarat kementerian kerana jadual peperiksaan sekarang yang berlangsung pada hujung tahun mendedahkan pelajar di pantai timur kepada bahaya banjir.
"Walaupun mengakui idea ini bagus tetapi ia memerlukan kajian secara menyeluruh," katanya mengulas pandangan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).
Ibrahim ketika membangkitkan cadangan itu berkata, kementerian tersebut wajar merombak semula jadual dua peperiksaan utama berkenaan ke bulan Januari.
Menurutnya, langkah itu wajar kerana saban tahun, calon SPM dan STPM di pantai timur terpaksa menjawab peperiksaan dalam keadaan tidak selesa selain turut mengancam nyawa.
PUTRAJAYA 4 Dis. — Pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dibenarkan mengambil dua subjek tambahan tetapi keputusan keseluruhan akan tetap mengambil kira 10 mata pelajaran teras, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kabinet membuat keputusan itu setelah mengambil kira rayuan yang dibawa oleh Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam yang mewakili banyak pihak.
Beliau berkata, penjelasan menyeluruh berhubung perkara itu akan dibuat oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom.
"Pokoknya 10 subjek utama itu kekal tetapi memberi kelonggaran bahawa pelajar boleh membuat pilihan untuk mengambil mata pelajaran bahasa Cina atau Tamil dan sastera Cina atau sastera Tamil,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-65 di sini hari ini. - Bernama
PUTRAJAYA 24 Nov. - Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) berpeluang mengikuti kursus ijazah sarjana muda pendidikan jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, langkah tersebut bertujuan memenuhi keperluan 32,000 guru j-QAF menjelang 2010 di 6,314 buah sekolah rendah di seluruh negara.
Menurutnya, pada masa ini terdapat 13,000 guru j-QAF di 4,723 buah sekolah rendah dan jumlah tersebut perlu ditambah apabila program j-QAF diperkenalkan di sekolah menengah.
''Kita sebenarnya berdepan dengan masalah kekurangan calon guru j-QAF kerana kekurangan calon guru dari aliran agama, kalau hendak tunggu yang pulang dari Mesir dan Jordan, jumlahnya tidak ramai.
''Sekarang ini kita sedang tunggu unjuran dari bahagian penyelidikan dan pembangunan kementerian untuk mengkaji jumlah guru j-QAF yang diperlukan sebelum proses pengambilan dimulakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan diploma perguruan kepada sebahagian daripada 3,259 graduan Kursus Perguruan Lepas Ijazah j-QAF dan Kursus Perguruan Lepas Ijazah Kursus Dalam Cuti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (KDC SABK) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (KDPM LPBS).
Puad menambah, pihaknya menjangkakan proses pengambilan pelajar lepasan SPM dan STAM untuk memenuhi kekurangan guru j-QAF dapat dilakukan menjelang tahun depan.
''Tentang kualiti guru, kita mahu calon-calon yang bakal dilahirkan oleh IPGM benar-benar komited dengan profesion perguruan,'' katanya.
Menurutnya, syarat pengambilan guru juga akan diperketatkan dengan menilai tahap kelulusan akademik, minat, penglibatan dalam kokurikulum dan keterampilan melalui sesi temu duga yang dijalankan.
Puad berkata, bagi pengambilan guru pada Jun lalu, kementerian menerima 67,444 permohonan di seluruh negara bagi memenuhi 2,350 kekosongan.
Katanya, Kementerian Pelajaran memerlukan lebih banyak IPGM untuk menampung masalah kekurangan guru terutama guru pilihan yang bakal berkhidmat di kawasan pendalaman.
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Kementerian Pelajaran akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun depan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, berbeza dengan yuran persekolahan, bayaran tambahan tersebut akan digunakan untuk manfaat para pelajar.
Menurut beliau, yuran persekolahan pula akan digunakan untuk menampung hal ehwal pentadbiran sekolah serta penambahbaikan beberapa kemudahan yang disediakan.
Katanya, jumlah bayaran tambahan itu akan diumumkan kelak dan ia boleh dibayar ketika sesi persekolahan bermula.
"Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar. Ia juga akan digunakan untuk kemudahan dan aktiviti mereka.
"Sebagai contoh, duit yuran tambahan itu akan digunakan sebagai insurans dan untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas hasil perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Dalam pada itu, Alimuddin berkata, mesyuarat itu kebiasaannya akan diadakan setiap hujung tahun bagi meneliti persiapan persekolahan serta menangani pelbagai isu yang timbul sebelum bermulanya sesi persekolahan baru.
"Dalam mesyuarat tersebut, apa jua perkara berbangkit seperti infrastruktur, perabot, peralatan dan jumlah guru akan diperbincangkan.
"Ini bertujuan agar para pelajar dapat mengikuti sesi persekolahan dalam keadaan selesa serta memastikan segala kemudahan yang disediakan berada dalam keadaanbaik," jelasnya.
Sesi persekolahan baru bermula pada 3 dan 4 Januari ini.